Tuesday 26 November 2013

Binalah Matlamat Anda.

Binalah Matlamat Anda.


Hidup ini dirasakan sudah semakin sibuk dari hari ke hari. Setiap detik bergelut dengan isu-isu dan kerja-kerja yang tidak berkesudahan. Memang benar, bukan mudah untuk menyeimbangkan antara dunia dan soal akhirat. Begitu juga dengan pelbagai cabang urusan kehidupan seperti keluarga (terutama apabila sudah ada 5 orang anak), perniagaan, konsultansi, kerja-kerja perundangan. Matlamat rencam yang pernah disediakan kadang-kadang terbengkalai. Tetapi itulah rupanya ujian untuk berjaya. Godaan yang bisa menggelincirkan kita dari pelan tindakan yang telah dibentuk adalah sangat kuat. Jadi tidak hairan jika ramai yang kecundang dalam mencapai matlamat mereka.

Sangat jelas bahawa perbezaan diantara orang yang gagal dengan orang yang berjaya adalah soal perlaksanaan dan bukan semestinya soal tiada ilmu. Orang yang berjaya melaksanakan dengan gigih, berdedikasi dan komited apa yang diketahui / dipelajari. Mereka percaya sepenuhnya bahawa mereka boleh berjaya dan dengan sabar mengatur langkah menuju matlamat tanpa menoleh kiri dan kanan. Manakala orang gagal pula adalah mereka yang tidak yakin pun dengan apa yang mereka ada sama ada bakat, ilmu atau pun skil. Mereka tidak percaya bahawa kejayaan itu sebenarnya adalah hasil satu proses keyakinan dan amalan. Bagi mereka, nasib adalah segala-galanya.

Dalam kontek yang lain, jika dilihat kepada kepercayaan sesetengah bangsa seperti Yahudi, mereka percaya bahawa mereka adalah super being yang lebih hebat daripada semua bangsa yang lain. Pastinya kepercayaan itu salah, tetapi apa yang mereka percaya itu ada kaitan dengan kejayaan mereka dalam menguasai ekonomi dunia atau menguasai kuasa besar dunia tika ini. Apabila mereka percaya bahawa mereka adalah makhluk terhebat, mereka akan menyebarkan dan mewariskan kepercayaan tersebut kepada anak-anak mereka. Pada usia yang muda, minda separa sedar amat mudah untuk dibentuk kerana masih bersih. Dengan itu, sejak kecil lagi, mereka percaya bahawa mereka adalah yang terhebat lalu kepercayaan seperti itu mampu mendesak mereka menguasai akal pada peringkat yang tinggi atau membentuk yakin dan jati diri yang unggul. Begitu juga jika kita menelusuri rahsia kejayaan bangsa Jepun. Kepercayaan yang kuat bahawa mereka boleh adalah satu punca utama yang membawa kepada kejayaan mereka.

Moga-moga, kita semua percaya bahawa jawatan Khalifah yang Allah berikan kepada kita adalah satu tahta yang bukan kecil maqamnya. Meyakini, bahawa kita semua adalah khalifah Allah, bukan sumber bermegah atau alasan untuk menindas yang lemah, sebaliknya satu keyakinan sangat tinggi bahawa kita semua boleh berjaya menguasai dunia dengan membawa kemajuan, kemakmuran dan keadilan sejagat. 

Idahar
Senior Consultant at Vetical Leading Solutions


No comments:

Post a Comment

Sila turunkan komen atau pesanan anda. untuk pertanyaan atau masalah sila isikan nama atau contact anda seperti no telefon / email untuk saya membalas pesanan anda (sekiranya peribadi)

Copyright Text